Followers

Keunggulan Rasulullah Diintai Orientalis



http://ctsabarina.files.wordpress.com/2009/03/ana-love-rasulullah.jpg
NABI Muhammad SAW diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia sepanjang zaman. Baginda memimpin melalui risalah tauhid yang diwahyukan oleh Maha Pencipta. Apa yang dibawakan Nabi Muhammad bukan berbentuk ideologi atau falsafah seperti diamalkan penganut agama lain.

Nabi Muhammad diutuskan bertujuan menyelamatkan manusia daripada jatuh ke jurang kecelakaan dan kemusnahan. Manusia yang hidup tanpa risalah tauhid menjalani kehidupan seumpama masyarakat haiwan yang mementingkan kepuasan nafsu semata-mata.

Kelahiran Nabi Muhammad dinanti-nantikan oleh ahli kitab dari kalangan penganut agama Yahudi dan Kristian, dua agama yang asalnya disebut agama langit. Dalam kitab Injil dan Taurat disebut mengenai kelahiran nabi akhir zaman yang akan membawa rahmat ke seluruh alam.

Ahli kitab kedua-dua agama itu percaya akan lahir seorang nabi yang akan menyatukan seluruh umat Islam dalam satu pegangan tauhid yang sama sehingga ke hari kiamat. Mereka bersedia untuk menjadi pengikut nabi yang bakal lahir itu sebagai kesinambungan kepercayaan yang diyakini sebelum itu.

Namun, disebabkan Nabi Muhammad bukan di kalangan keturunan Yahudi maupun Nasrani, banyak di kalangan ahli kitab itu mengetepikan kepercayaan mereka yang dipegang sekian lama.

Satu keistimewaan paling kerap diperkatakan mengenai Nabi Muhammad ialah berkaitan ciri kepemimpinannya. Semua pihak mengakui ketokohan kepemimpinan Nabi Muhammad yang tidak ada tolok bandingan. Kepemimpinan Nabi Muhammad yang terbilang tidak mungkin ditandingi individu di dunia ini, sebelum dan selepas baginda.

Paling mengagumkan, kepimpinan Nabi Muhammad terbaik dalam semua bidang. Tidak ada pemimpin lain yang dapat melakukan tanggungjawab secara serentak dalam pelbagai tugas dengan begitu sempurna.

Nabi Muhammad menjadi ketua agama, ketua negara, ketua hakim, panglima perang, perancang ekonomi, ketua pendidik, diplomat terkemuka dan suami serta bapa mithali. Pendeknya, kemampuan Baginda menepati gelaran ‘pemimpin agung’ sepanjang zaman seperti diakui semua pihak.

Justeru, Nabi Muhammad adalah ‘role model’ contoh ikutan terbaik. Sebagai penganut agama Islam, sesiapa yang mengikuti apa dilakukan Nabi Muhammad adalah dianggap melakukan sebahagian daripada sunnah.

Kekuatan dan kejayaan kepemimpinan Nabi Muhammad bukan diukur pada banyaknya jawatan dipegang. Apa yang dinilai sebenarnya ialah berdasarkan kejayaan dicapai secara fizikal mau pun spritual. Setiap kejayaan itu melalui tahap tertentu yang melambangkan sunnatullah, dan bukannya dicapai secara luar biasa.

Dengan kata lain, apa yang dilakukan dan dicapai oleh Rasulullah boleh dijadikan ikutan. Nabi Muhammad juga manusia biasa dan mengalami keadaan sama seperti orang lain.

Sebagai manusia biasa Nabi Muhammad juga turut berasa kelaparan jika tidak makan, mengalami sakit jika bahagian badan terluka dan turut berasa kepenatan. Baginda juga memerlukan kepada apa yang diperlukan oleh orang biasa. Baginda juga berdepan dengan kegagalan dan kesukaran.

Allah mengutuskan nabi di kalangan orang biasa agar mampu dijadikan contoh. Sekiranya nabi adalah kalangan manusia yang dikurniakan 'super power' atau kuasa istimewa, sudah tentu manusia biasa tidak mampu untuk mengikuti apa yang dilakukan.

Kejayaan Rasulullah memimpin manusia dari zaman kegelapan kepada zaman kecemerlangan, sikap perpecahan kepada perpaduan, miskin jiwa menjadi kaya jiwa dan percaya kepada kebatilan bertukar mengakui keesaan Allah, terus diperkatakan sepanjang zaman.

Sirah Rasulullah sentiasa dijadikan bahan kajian untuk mendapat manfaat daripadanya. Kajian itu turut dilakukan ahli falsafah, ilmuan dan pemikir bukan Islam. Mereka membaca, mengkaji dan membuat rumusan mengenai sirah Rasulullah secara berulang. Semakin banyak yang dikaji, semakin menambahkan lagi rasa kagum terhadap kemampuan Rasulullah.

Namun, sebilangan orientalis yang terang memusuhi Islam membuat rumusan sebaliknya, dengan harapan mencemarkan kedudukan Nabi Muhammad. Sebab itu, kadang-kala kedengaran tuduhan buruk dilemparkan kepada Rasulullah.

Niat buruk itu tidak langsung mencemarkan keunggulan Nabi Muhammad dan Islam yang dibawa oleh Baginda. Bahkan, cerita buruk ini mendorong lebih banyak yang ingin mendapat maklumat sebenar mengenai Nabi Muhammad.



http://praskt.files.wordpress.com/2008/03/maulud3.jpg



0 Comment:

Post a Comment